Friday, February 24, 2012
Manusia Mudah Lupa
“Sesungguhnya Kami jadikan manusia sebaik-baik kejadian”
Sebelum kita mengenali sikap, amat wajar kita menyelami siapa diri yang membawanya. Setelah sempurna diciptakan sebelum ditiupkan ruh kepadanya, manusia tiada apa-apa yang istimewa. Itulah anggapan Iblis yang menjelajah segenap jasad manusia. Manusia hanya segumpal tanah yang hina. Setelah Allah meniupkan ruh dari sisiNya, sekujur tubuh tersebut diberi penghormatan tertinggi sebagai khalifah di muka bumi.
Manusia yang pada namanya dipanggil ‘insan’ atau ‘an-nas’ ditakrifkan sebagai haiwan yang berkata-kata (hayawan al-natiq). Sebenarnya, haiwan inilah merupakan sebaik-baik ciptaan yang diseru kepada para malaikat dan iblis agar memberi penghormatan kepadanya. Kerana kelebihan unsur yang kedua iaitu rohani, bukan yang pertama jasmaninya dari tanah. Iblis engkar kerana cuba memperbandingkan zahirnya. Di kalangan yang tunduk hanya patuh, namun masih mempersoalkan adakah manusia ini bakal membawa kerosakan dan pertumpahan darah. Sehinggalah manusia pertama iaitu Adam a.s membuktikan dengan menyebut nama-nama yang Allah rahmati keilmuannya.
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah; kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh; kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. setelah sempurna kejadian itu Kami bentukannya menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.” (al-Mukminuun: 12-14)
Nisbah nama ‘insan’ ini bersumberkan bahasa Arab dari perkataan ‘nasiya’ yang bermakna lupa. Manusia boleh menyebut semua nama-nama yang diajarkan kepadanya tetapi manusia sendiri boleh saja melupai dirinya sendiri. Manusia sering lupa kepada asal dirinya dan meteri janjinya dengan Penciptanya. Manusia lupa tentang dirinya adalah makhluk rohani dalam kembara tubuh jasmani. Lupa tentang perjalanan pulang ke tempat asal yang abadi kerana asyik dengan persinggahan duniawi. Lupa tentang hakikat dirinya dari unsur ruh yang tinggi kepada kecenderungan melayani nafsu hayawani. Terhadap kerajaan dirinya diabaikan. Akibat dari lupa untuk mengenal diri, maka manusia juga tidak kenal Tuhannya. Jalan-jalan mencari ilmu untuk mengenal ditinggalkan.
Jadilah manusia hanya menyibukkan diri mencari keperluan dan terus hilang tujuan dan haluan. Manusia akan hilang kemanusiaan di saat hawa nafsu ditabalkan menjadi tuhan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment