Thursday, June 30, 2011

KetaraSedar


KetaraSedar adalah satu keadaan yang menunjukkan bahawa seseorang berada dalam peka, sedar, siaga dan faham yang selayaknya sehingga keadaan tersebut dapat dirasai terpancar pada sikap, tingkahlaku dan tindakan. Di dalam bahasa Inggeris, Ketarasedar dirujuk sebagai ‘Conciousness’* atau ‘Mindfulness’** . Pendekatan ini melibatkan kefahaman terhadap asas yang mendalam kenapa sesuatu itu begitu tidak begini atau kenapa tindakan itu begitu dan sekiranya begitu, apakah kesan tindakan tersebut. Berdasarkan kepada takrif ini, ketarasedar adalah merupakan nama yang dirujuki kepada sesuatu yang menjelaskan perihal pengenalannya. Manakala dari pengenalan tersebut akan menimbulkan keempunyaan (jami’) sifat-sifatnya dan pengecualian (mani’) sifat-sifatnya.

Mungkin kita biasa mendengar perkataan sedar, separa sedar, separuh sedar atau bawah sedar namun perkataan ‘ketarasedar’ (ditulis dengan satu perkataan) atau ‘ketara sedar’ (dalam dua perkataan) merupakan satu perkataan baru. Jika ditinjau di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau mana-mana penggiat bahasa, perkataan ini secara khusus belum didaftarkan. Sekiranya kita menggunakan enjin carian di laman sesawang, kita akan temui perkataan ini dan digunakan oleh mereka yang pernah menghadiri kursus di IKIM. Perkataan ini mula-mula diperkenalkan oleh penyelaras bengkel Pusat Perundingan dan Latihan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada tahun 2008 ketika memperkenalkan Bengkel Ketara Sedar dalam Amalan di Hotel Marriot, Putrajaya. Memetik kata-kata Ketua Pengarahnya IKIM pada masa itu iaitu Y.M Datuk Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas, “perkataan ini merupakan kata dasar yang memberi makna yang benar, betul dan tepat terhadap gambaran pemikiran yang berada dalam keadaan penuh kesiagaan”. Ketarasedar telah merangkum maksud dua perkataan Inggeris iaitu ‘mindfulness’ (The state or quality of being mindful; attention; regard", with obsolete meanings of "memory" and "intention, purpose") dan ‘consciousness’ (refers to the relationship between the mind and the world(s) with which it interacts).

“Ketara” merujuk kepada kata sifat terhadap sasaran tahap atau darjah yang tertinggi dalam pelambangan faham makna dan hakikat sesuatu. Contohnya “kotoran di baju nampak ketara” bermaksud nampak dengan jelas, bukan kabur atau tidak disedari. Perkataan ketara juga digunakan apabila menggambarkan situasi yang membawa kepada keperluan penumpuan dan penglihatan yang tajam dan halus untuk mengesan sesuatu keadaan sehingga menjadi nyata. Perkataan sedar pula di dalam daftar Eja Dewan Bahasa dan Pustaka disenaraikan seperti di bawah:

1. tahu dan ingat (akan keadaan yg sebenarnya), insaf, mengerti: ia ~ dirinya diancam dr luar dan dalam; kau pun ~ bahawa penduduk kampung ini sudah lama menyuruh aku menyingkirkan kau dari sini;
2. ingat kembali, bangun atau jaga (drpd tidur), siuman semula: ~ drpd pengsan (tidur); ~ tak ~ antara sedar dan tidak; ~ (sedarkan) diri a) tahu akan dirinya; b) siuman; tidak ~ (sedarkan) diri a) tidak ingat akan diri; b) tidak tahu di untung;
Mengambilkira makna dan sifatnya, maksud yang berkisar tentang ketarasedar tidak menolak keperluan mengaitkan perkataan ini dengan makna yang diperolehi dalam hubungan alam-alam yang dicapai melalui tanzil yang sah iaitu perihal alam ruh, alam rahim, alam barzakh dan alam akhirat. Perkataan sedar sendiri berakar umbi dari perkataan Bahasa Arab iaitu “sa-da-ra” bermaksud dada. Bahasa melayu mengambil perkataan ‘sedar’ ini untuk menggambarkan keadaan seseorang yang berada dalam keadaan sengaja, ingat, ingin dan niat yang berpunca dari hati di mana tempatnya adalah dalam dada manusia. Ketarasedar adalah suatu kaedah dan pendekatan untuk mendekatkan jurang ilmu melalui peningkatan pemikiran dan kefahaman. Ketarasedar membawa insan kepada mengenal diri dan peranannya sendiri serta menghubungkan insan dengan penciptanya. Walaupun perkara ini nampak mudah, tetapi dari sudut amalan, manusia sering dibelenggu rantai dunia sehingga terpisah dan tersasar jauh dari hakikat dan makna kehidupan sebenar. Inilah kecelaruan dua alam yang akan dibincangkan secara terperinci di dalam KetaraSedar. Dalam bidang kajian ilmu kejiwaan, ketarasedar merupakan satu pengukuhan kepada ilmu pengenalan dan ilmu pengetahuan. Islam telah meletakkan asas kukuh kepada memupuk kesedaran tingkahlaku dalam setiap perbuatan manusia. Asas utama dalam memupuk jiwa ketarasedar adalah berlegar tentang persoalan pandangan alam dan hubungkaitnya dengan persekitaran alam diri manusia itu sendiri. Ketarasedar juga membincangkan tentang kaitan asas dan maksud kajian psikologi yang mencari kebahagiaan hakiki. Ketarasedar mampu menjadi penawar kepada kebanyakan sakit yang dihadapi oleh jiwa yang pincang. Menyelaminya menjadi satu kemestian di zaman ini agar rantai sakit zaman tidak tersarung di jiwa insan. Zaman telah menghantar berbagai alamat agar manusia kembali sedar untuk kembali kepada jalan sebenar.
KetaraSedar merupakan satu bidang ilmu memahami dan menghayati penggunakan nama, takrif dan perkaitannya dengan menggunakan logik dan penghayatan dalam landasan pemikiran. Dengan kata lain, orang yang sedar mungkin hanya tahu, tetapi orang yang ketarasedar, mereka akan tahu dan faham. Tahap pengetahuan ini mampu memberi kesan kepada pemiliknya untuk bersikap, bertingkahlaku, bertindak, berpendirian, berkeinginan, beretika, berfungsi sewajar dengan kefahaman tersebut.

Pemupukan minda ketarasedar adalah merupakan gabungan peningkatan kemampuan dan kecerdasan terhadap kawalan psikologi manusia. Kemahiran ini amat penting, dibentuk dan dimiliki oleh setiap individu mahupun organisasi yang mahukan kecemerlangan.

----------------------------------------
* umumnya dianggap terdiri daripada sifat-sifat seperti kesedaran diri, naluri, kebijaksanaan, dan kemampuan untuk melihat hubungan antara diri dan persekitaran seseorang. Dalam bahasa biasa, kesedaran menandakan sedar dan responsif kepada persekitaran seseorang; ini berbeza dengan yang tidur atau berada dalam keadaan koma. Banyak budaya dan tradisi agama yang meletakkan kedudukan kesedaran dalam jiwa berbanding badan fizikal. Sebaliknya, banyak saintis dan ahli falsafah berpendapat kesedaran berkait rapat dengan fungsi saraf otak.

** Daerah pemikiran atau kualiti prihatin; perhatian; berhubungan, dengan makna asal sebagai "ingatan" dan "niat serta tujuan". Perkataan ini pertama kali direkodkan sebagai myndfulness pada tahun 1530 (Palsgrave menterjemahkan Bahasa Perancis pensee), sebagai mindfulnesse pada 1561, dan mindfulness pada tahun 1817. Dari sejarah bahasa memasukkan makna ‘berhati-hati’ (pertama yang tercatat pada 1340), mindfully (1382).

No comments:

Post a Comment