Tuesday, March 6, 2012

Mencari Fitrah yang Hilang

Seandainya seorang tua terbongkok-bongkok mencari sesuatu di dalam lumpur dari hening pagi hingga terik mentari, pasti terdetik di hati kita bahawa apa yang dicari itu pasti amat berharga. Walaupun terdedah kepada kepanasan dalam upaya diri yang makin luntur, beliau masih lagi tegar berusaha. Mungkin yang dicari itu lebih mahal nilainya dari dirinya sendiri. Itulah bayangan yang dapat kita gambarkan tentang pencarian diri umat yang telah hilang. Apa yang hilang dari umat Islam itu lebih penting dan tinggi nilainya dari umat itu sendiri. Sudah pasti di persimpangan ini, kita perlukan satu fikrah yang luar biasa untuk melupai sementara kekangan dan kelelahan diri untuk mencari semula tanda harganya. Pencarian ini umpama mencari dan menyambungkan semula titik-titik yang hilang dalam garisan masa lampau ke masa hadapan yang gemilang.

Manusia yang menanggalkan pakaian agamanya akan jatuh martabatnya menjadi hina seperti haiwan. Agama lebih tinggi nilainya berbanding manusia, apatah lagi agama ini memang menjadi satu fitrah manusia. Manusia memerlukan fitrahnya kembali untuk bangkit. Agama akan membentuk fitrah, membetuli jalan lurus buat manusia untuk menjadikan manusia berguna dan mampu memikul tanggungjawab yang gunungpun tidak sanggup memikulnya. Untuk menggagahinya, pasti kita perlu bersedia dengan kelengkapan yang cukup. Persediaan pertama membongkar masalah ini adalah ilmu tentang diri. Kemudian, dengan ilmu itu barulah kita menyuluh apa yang telah hilang dari umat.

No comments:

Post a Comment