Monday, February 20, 2012

Tamadun Akhlak...


Ketika panji Rom dan Parsi berkibaran, fajar menyinsing menyinari tanah Arab. Sinarnya menerangi seluruh alam. Begitulah bermulanya sebuah tamadun akhlak di tengah hiruk pikuk dan kemelut peradaban jahiliyyah. Kelahiran nabi Muhammad S.A.W adalah detik permulaan kepada sebuah tamadun misali. Islam telah meletakkan satu penanda aras kepada kecemerlangan sikap melalui bahasa agama tauhid.

Baginda diutuskan di tengah-tengah masyarakat yang rosak akhlak dan mengalami masalah tamadun yang parah. Hikmah kerasulan dalam kalangan masyarakat Arab juga memberi gambaran bahawa kaum yang mempunyai sikap burukpun, dapat diubah menjadi baik oleh agama Islam. Agama Islam bukan agama rekaan Muhammad tetapi tanzil dari Pencipta. Dalam masa yang singkat, himpunan sikap yang terpuji ini bukan sahaja mampu menjadi enjin membina tamadun, malah melahirkan ramai lagi pemimpin unggul dalam sejarah kemanusiaan.

Tetapi persoalannya, kenapa sebaliknya berlaku di kalangan umat Islam di seluruh dunia dewasa ini? Inilah masanya kita menyelak kembali sejarah keagungan Islam dan memberi tumpuan bagaimana pendidikan akhlak dapat diselami semula agar kecemerlangan dapat diulangi. Kecemerlangan bukanlah hanya tempat persinggahan tetapi bekalan yang dikutip sepanjang perjalanan. Sekiranya persoalan sikap dipandang sebelah mata, bukan sahaja umat Islam akan terus merana tetapi seluruh tamadun manusia akan menempah sejarah keruntuhan.

Pola didikan Allah melalui utusanNya dan kandungan penurunan al-Quran, menjadi model terbaik pendidikan dan pembentukan sikap. Aspek kepercayaan dan aqidah adalah antara keutamaan dan tunjang kepada pembentukan sikap. Penurunan al-Quran secara beransur-ansur berlaku sedikit demi sedikit sehinggalah menjadikan agama Islam sempurna meliputi segala aspek kehidupan. Agama menjadi pelengkap panduan hidup manusia. Sekiranya ingin dibongkarkan kecacatan Islam, pasti tidak akan kita temui kecuali ketempangan umatnya dalam menghayati ajarannya. Begitu juga dengan apa yang dibawakan oleh rasul-rasul terdahulu yang menyeru kaumnya menuju kepada agama yang hanif agar sikap kaum terbabit tidak bercanggah dengan fitrah mereka. Kesudahannya, bangsa yang diutuskan tersebut telah mempersendakan agama malah ada yang membunuh nabi-nabi yang diutuskan. Bukan sedikit azab yang Allah turunkan dek kerana sikap mereka yang angkuh dan engkar.

Di akhir zaman ini, dugaan dan ujian makin mencabar. Umat Islam bukan sahaja memenangi carta dosa dan noda, malah bukan sedikit juga yang membonceng agama untuk mengejar dunia. Akibatnya, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Ummat Islam dihimpit berbagai masalah yang datang dari segenap penjuru. Ibarat telah lemas di dalam pasir jerlus yang makin kuat bergerak, makin cepat pula ditelannya.

Ilmu yang hanya berlandaskan pemikiran logik semata-mata tidak mampu membuka rahsia yang dipimpin oleh wahyu (melalui tanzil). Apabila pemikir-pemikir barat menolak wahyu atau sebahagiannya berlandaskan wahyu yang diselewengkan, kesudahannya mereka masih mengkaji dan terus mengkaji persoalan sikap yang tidak pernah muktamad dan tiada penghujungnya. Sedangkan di sisi Islam amat jelas bahawa sikap akan mengarah kepada kehidupan beragama yang benar, betul dan baik yang akhirnya membawa manusia menuju kebahagiaan abadi.

No comments:

Post a Comment