Thursday, February 9, 2012

Fikrah Muslim

Racun kekeliruan yang melanda kaum Muslimin dewasa ini telah mengakibatkan keyakinan terhadap tubuh dan jiwa agama luluh dan lebur. Akibatnya, cara hidup yang perlu dicermati dalam kerangka agama telah dijajah oleh pemikiran ideologi dan isme-isme yang berkecamuk. Akhirnya, agama telah memasuki landasan perubahan dan pencabulan selari dengan perkembangan pemikiran, apalagi agama kini ditafsir semula sewenangnya dan diasingkan dari aspek kehidupan sehingga menimbulkan berbagai kepincangan dalam landasan sebenar kehidupan.


"Patutkah sesudah mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari agama Allah? padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadanya lah mereka dikembalikan".
(Al-Quran: 83)


Agama adalah tubuh sebenar insan. Manusia hidup dalam intisari agama. Kaum muslimin adalah cermin bidal tamsil kepada kejernihan agama Islam. Bukan yang kusam dan lapuk akibat gigitan kejahilan dan sengatan kealpaan. Kemalangan yang paling dahsyat melanda umat ialah kejahilan terhadap dirinya sendiri. Umat Islam telah jatuh maruah diri mereka di dalam segala persada, dangkal pertimbangan ilmu dan terjerumus di dalam dilema iman.

Kehidupan tidak dapat dipisahkan dari agama kerana agama adalah cara hidup. Agama bukan hanya amalan ritual atau budaya semata-mata tetapi merupakan jiwa kepada diri manusia. Agama adalah sesuatu yang hidup dalam diri dan membentuk adab pekerti kehidupan manusia. Perkembangan peradaban tajaan kebudayaan barat telah menyifatkan bahawa agama juga turut berkembang mengikut kebudayaan mereka. Sedangkan di dalam Islam, agama adalah sesuatu yang fitrah dan tersedia dalam hakikat kejadian manusia. Apa yang perlu hanyalah menyingkap semula hakikatnya dalam diri dan menghayatinya dalam kehidupan.

Hakikat yang perlu disedari ialah manusia dijadikan dari tiada kepada ada. Mengimbau hayat hidup manusia yang ada di sekeliling kita sekarang, beribu tahun dahulunya mereka tiada. Mereka tidak mencipta diri mereka sendiri. Mereka tidak juga mampu menumbuhkan dan menyusun atur perjalanan dalam diri sendiri, tumbuh dan seterusnya melalui fasa-fasa kehidupan. Andaikan kita mengenang jasa kedua ibubapa betapa banyak hutang budi kepada mereka, apatah lagi mengenang budi Pencipta yang mencipta dari awal mula sehingga menjadi.

Manusia telah terhutang dirinya sendiri terhadap Pencipta atas kejadian tersebut dan perlu melangsaikan hutangnya melalui pengabdian kepada pemiutang iaitu Allah. Tunduk kepada perintah dan menjauhkan larangNya merupakan satu proses melangsaikan hutang tersebut. Oleh itu, manusia tertakluk kepada kewajiban tertentu untuk mengambil penyaksian diri mereka dalam mengabdikan kepada Yang Mencipta.

No comments:

Post a Comment