Manusia tidak dapat lari dari fitrah, fikrah dan fekahnya. Namun, persoalannya ialah apakah fitrah, fikrah dan fekah yang benar, betul dan baik untuk dijadikan landasan kehidupan. Lihatlah bagaimana ulama dahulu menekankan tentang kepentingan iman, ilmu dan amal. Semua ini berkaitan dengan kefahaman fitrah, fikrah dan fekah. Imam Malik pernah menyatakan bahawa “Orang yang berpegang dengan fiqh tanpa tasauf akan menjadi fasik, manakala orang yang hidup dengan tasauf tetapi tanpa fiqh akan jadi zindik”. Apakah kaitan kedua-duanya? Maknya tiada ‘atau’ dalam pilihan ini. Inilah persoalan penghayatan dan keselarian amalan dan ilmu dalam batas iman. Inilah juga kerangka fitrah, fikrah dan fekah. Fekah tidak berdiri sendiri. Begitu juga fikrah tidak mampu berfungsi tanpa kefahaman terhadap fitrah manusia. “Orang yang ada penukul hanya akan melihat semua masalah sebagai paku”. Begitu juga dengan manusia keseluruhannya.
Jika pandangan dan ilmu terhadap sesuatu terhad, mereka hanya mampu membaca dan menaksir apa yang berlaku hanya setakat ilmu dan pandangan yang dimiliki. Dalam buku “1001 invention-The enduring Legacy of Muslim Civilization”, umat Islam telah menjadi pelopor kepada berbagai bidang yang jauh lebih terdahulu dari bangsa lain. Sebagai contoh dala sebuah ilustrasi buku Al-Jazari “The Book of Knowledge of Ingenious Mechanical Devices” (1206M) menggambarkan sebuah robot yang mampu menghidangkan minuman. Sebelum ini, beliau mencipta banyak mesin lain seperti jam, mesin pembersih rumah dan penyukat air. Manakala dalam abad ke-9, seorang wanita Fatima al-Fihri (meninggal 880M) telah mampu membina kompleks bangunan masjid kolej al-Qarawiyin di Fez, Morocco dalam tahun 859M. Bagaimana tahap keilmuan mereka sehingga mereka mampu mencipta sesuatu yang belum pernah mampu dibangunkan manusia sebelum mereka?
Kita yakin bahawa ilmu mampu menembusi benteng kejahilan. Kita juga pasrah mengatakan ilmulah yang mengangkat tamadun sesuatu bangsa. Namun, ilmu yang bagaimana? Bukankah kita sekarang berada dalam masyarakat ilmu? Mempunyai kelulusan dan ijazah lanjutan dalam pelbagai bidang. Zaman ini dipanggil dunia berasaskan ilmu (knowledge-based). Jika kita singkap satu lagi helai tabirnya, ternyata kita mula sedar bahawa keilmuan yang digenggam sekarang tidak kukuh. Umat Islam telah kehilangan pereka yang mampu menghasilkan sesuatu yang bermanfaat. Keilmuan yang dimiliki tidak mampu mengangkat martabat bangsa, malah menjadi hambatan kepada kecelaruan.
Menyingkap tentang keupayaan Steve Jobs (1955-2011; Pengasas rangkaian syarikat komputer Apple Inc.), kejayaan beliau ternyata sukar disangkal. Beliau memperkenalkan berbagai jenis produk baru dengan teknologi yang belum diterokai oleh mana-mana syarikat komputer lain bermula dari iMAC, iTune, iPad, iPhone dan MacBook. Kejayaan demi kejayaan telah meninggalkan bekas yang amat mengharu pesaing dalam mengikuti jejak langkahnya. Syarikat lain terpaksa akur dengan kehebatan inovasi Apple Inc. dan terpaksa berusaha meningkatkan kemampuan produk masing-masing menyaingi Apple. Dalam masa yang sama, kejayaan Apple telah membuka dimensi baru kepada pengguna melalui pengalaman yang berbeza ketika menggunakannya.
Apa yang pasti, tidak ada guru atau konsultan yang mengajar Steve Jobs untuk melakukan semua ini. Apa yang menjadi nadi penggerak kepada kejayaannya, bukan berada di luar atau diri sesiapa tetapi prinsip asas kreativiti dan inovasi yang membakar dari dalam dirinya. Kejayaan seseorang bermula dari cara berfikir. Pemikiran yang baik dan jelas seterusnya menghasilkan sesuatu yang juga jelas dan padu. Apatah lagi sekiranya kita ingin menjadi seorang usahawan atau apa saja yang dihajati, perjalanan hidup beliau boleh dijadikan teladan kepada kecemerlangan. Prinsip merupakan sesuatu pegangan diri hasil dari kutipan idea yang berterbangan. Memang banyak idea berkeliaran di dalam fikiran kita saban masa, namun, sejauh mana kita mampu menilai idea yang baik dan sesuai dengan diri atau kerjaya kita? Steve Jobs telah menukarkan diri beliau dari ‘nobody’ kepada ‘somebody’. Itulah kelebihan yang dimiliki oleh Steve Jobs apabila beliau mengambil konsep kesungguhan, melakukan perkara yang diminatinya dengan terbaik secara berterusan, tidak kenal erti kegagalan, memuaskan hati pelanggan dan membentuk budaya kreativiti dalam diri dan dalam kalangan kakitangannya.
Marilah kita lontarkan soalan yang paling asas kepada diri sendiri, kenapa semua ini tidak berlaku terhadap umat Islam sekarang? Rasulullah pernah bersabda bahawa di akhir zaman nanti, umat Islam akan bertambah ramai namun mereka sedikitpun tidak mampu menggentarkan musuh. Umat Islam ibarat buih-buih di lautan. Seorang sahabat bertanya kenapa? Rasulullah menjawab kerana umat Islam dijangkiti sejenis penyakit yang diberi nama ‘waham’. Apakah itu waham? Waham adalah penyakit yang cintakan dunia dan takutkan mati.
Melihat kepada fenomena yang berlaku sekarang, ternyata bahawa umat Islam hanya seperti buih yang banyak tetapi tidak mempunyai apa-apa tenaga dalaman yang mampu membangunkan tamadun sendiri. Apakah prinsip perjuangan yang mendokong perubahan semasa? Teroponglah ke dalam politik, sosial, ekonomi atau apa saja bidang. Apakah motif di sebalik pergerakan tersebut? Dunia…itulah jawapannya. Kebanyakan berpolitik kerana ingin memiliki dunia. Begitu juga bekerja untuk mengejar keduniaan. Apatah lagi dalam urusan ekonomi, teori memaksimakan kepuasan bukan saja satu dogma teori, tetapi telah menjalar dalam setiap inci tubuh agen ekonomi. Sistem nilai kita makin pudar selari dipengaruhi oleh ancaman dan serangan aliran pemikiran semasa.
Akhir sekali, 'entry' ini tidak lebih dari menjadi sebagai satu peringatan kepada diri penulis sendiri. Menyedari hakikat diri sering alpa, perjuangan muhasabah dan mujahadah diri juga perlu sentiasa dipasakkan agar kita sama-sama temui jalan sebenar sepanjang masa. Segala yang dilakukan selain dari kerana Allah, pasti kita sering kecewa dan dikecewakan oleh keinginan sendiri. “Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa kamu dan harta kamu, tetapi Allah melihat hati kamu dan amalan kamu” (h.r Muslim). Siapakah lagi yang mampu menjamin keselamatan kita saat maut menanti di ambangnya? Apa lagi jika kita tidak pernah bersedia menghadapinya. Bayangkan sekiranya hidup di dunia hanya mencipta lara, menebar sengketa dan menabur nista? Adakah semuanya tidak dipertanggungjawabkan? Adakah wang atau segala isi dunia ini mampu memberi imuniti terhadap perbuatan kita? Adakah peranan kita memanjang-manjangkan keburukan orang lain nanti kita tidak akan dipersoalkan?...



