Tuesday, September 6, 2011
Kehidupan dan Dua Alam
Baru-baru ini ketika pulang berhari raya di kampung, sempat bertemu sahabat lama yang berbelas tahun tak berjumpa. Rupanya beliau bertugas di Syarikat Dr. Rozmey yang beribupejabat di Jitra, Kedah. Lama berbincang, berbagai perkembangan dan pengalaman dikongsikan bersama. Kami bersama-sama semasa menuntut di Universiti dahulu dan merupakan ahli group makan, PALAPES dan ahli kelab negeri yang sama. Oleh kerana beliau sudahpun mula bertugas selepas bercuti raya, perjumpaan tersebut dibuat di pejabat beliau. Antara perkara yang menarik perhatian ialah berkenaan filem yang diterbitkan oleh Datuk Dr. Rozmey, "Dua Alam".
Semasa digembar-gemburkan suatu masa dahulu, terasa juga ingin menontonnya. Oleh kerana kesibukan dan berbagai agenda hidup, masa berlalu pergi tanpa sempat filem ini ditonton. Memang ternyata agak tertinggal sedikit dari segi perkembangan filem. Umumnya, kita tahu sekarang ini filem cenderung berbentuk seram, tahyul dan khurafat dan amat berleluasa di persada filem negara. Ketika hari raya baru-baru ini juga tidak kurangnya. Kebanjirannya memberi kesan kepada masyarakat terutamanya lapisan kanak-kanak yang dimomokan dengan berbagai lembaga menakutkan tanpa menyedarkan mereka bahawa masih ada Kuasa yang Maha Besar yang perlu ditakutkan. Dimana penerbit-penerbit Islam yang berbakat menanam ketaqwaan kepada Allah?
Berbalik kepada filem 'Dua Alam', setelah mengamatinya, dapatlah disimpulkan bahawa filem ini amat menarik dan membawa mesej yang kuat dalam menangani gempabumi moral dan tsunami maksiat di dalam negara. Melihat kepada 'timing' filem ini, ternyata filem ini telah berjaya memberi satu pandangan dan kesimpulan tepat kepada erti kehidupan yang dikongkong oleh kebendaan dan keseronokan. Saya melihat bahawa filem ini berjaya, bukan dalam bentuk pulangan kebendaan, tetapi memberi kesedaran kepada penonton yang terbuka pintu hatinya untuk menilai secara saksama dan adil. Memang tidak dapat dinafikan bahawa filem ini menerima kritikan hebat dari pelbagai sudut, namun kritikan ini tidaklah menidakkan garapan mesej besar yang ingin disampaikan. Apatah lagi filem ini menggabungkan adunan latar bunyi, lokasi dan elemen penting sebuah filem. Syabas kepada mereka yang terlibat dengan penggambaran dan penerbitan.
Allah Maha Adil menilai setiap perbuatan manusia. Allah telah menyatakan bahwa tidak mungkin untuk mendapatkan redha seluruh manusia. Maka janganlah membebani diri untuk selalu mengejarnya, bahkan menjadikannya dalam dakwah sebagai tujuan utama. Sungguh, mencari redha manusia adalah pekerjaan yang sia-sia. Imam Asy-Syafi’i pernah berkata : “Keredhaan manusia adalah suatu yang sulit dicapai, maka hendaklah engkau memperbaiki dirimu dan kerjakanlah dengan sungguh-sungguh, karena tiada jalan membuat seluruh manusia redha terhadapmu.” (Hilyatul Auliya' : 9/122).
"Hidup ini menjadi sempit dan semakin sempit kerana kamu menjalani hidup ini untuk meraih perhatian dan redha manusia di sekelilingmu. Apa yang kamu ingin lakukan, kamu ukur dengan redha manusia atau kebencian mereka. Ia membuatkan kamu menjalani sebuah kehidupan yang penuh dengan pendustaan". (Syeikh Ibn Atoillah As-Sakandari)
Hikmah ini mengingatkan kita kepada sebuah hadith yang dijadikan tajuk buku karangan ulama kontemporari terkemuka Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni dalam salah sebuah bukunya bertajuk “Ihfazillah ha yahfazuka” terjemahannya “Jagalah Allah nescaya Allah akan menjagamu”.
Dari Ibnu Abbas RA, berkata: Pada suatu hari aku berada di belakang Rasulullah SAW lalu baginda bersabda: Wahai anak, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan memelihara kamu, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan berada di hadapan kamu, dan jika engkau memohon maka mohonlah kepada Allah, dan jika engkau meminta pertolongan maka mintalah pertolongan kepada Allah, dan ketahuilah bahawa sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk memberikan suatu manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah, dan sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk mendatangkan mudarat ke atas kamu, nescaya mereka tidak akan mampu melakukan melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah.
Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni mengupas hadith ini dengan terperinci dan cukup mengesankan jiwa sesiapa sahaja yang menekuninya. Kupasan hadith ini sungguh mendalam, sarat dengan nasihat ulama, kisah-kisah insan soleh, kisah-kisah manusia derhaka kepada Allah, wali-wali Allah, bentuk-bentuk pertolongan Allah dan macam-macam lagi. “Sesungguhnya barangsiapa yang mencari redha Allah dengan marahnya manusia, maka Allah akan cukupkan baginya akan segala keperluannya di dunia ini. Tetapi barangsiapa yang mencari redha manusia dalam keadaan Allah murka, maka Allah menyerahkan nasibnya kepada manusia.” [Hadith]
Firman Allah di dalam Surah At-Taubah, 100: Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.
Ukur dua alam kehidupan (dunia dan akhirat) kita dengan redha Allah merupakan tiket ke syurga....
Jagalah hak-hak Allah, nescaya Dia akan menjaga kita; merupakan kunci kehidupan. apa lagi yang kita cari?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment