Tuesday, September 6, 2011

Kehidupan dan Dua Alam

Baru-baru ini ketika pulang berhari raya di kampung, sempat bertemu sahabat lama yang berbelas tahun tak berjumpa. Rupanya beliau bertugas di Syarikat Dr. Rozmey yang beribupejabat di Jitra, Kedah. Lama berbincang, berbagai perkembangan dan pengalaman dikongsikan bersama. Kami bersama-sama semasa menuntut di Universiti dahulu dan merupakan ahli group makan, PALAPES dan ahli kelab negeri yang sama. Oleh kerana beliau sudahpun mula bertugas selepas bercuti raya, perjumpaan tersebut dibuat di pejabat beliau. Antara perkara yang menarik perhatian ialah berkenaan filem yang diterbitkan oleh Datuk Dr. Rozmey, "Dua Alam".
Semasa digembar-gemburkan suatu masa dahulu, terasa juga ingin menontonnya. Oleh kerana kesibukan dan berbagai agenda hidup, masa berlalu pergi tanpa sempat filem ini ditonton. Memang ternyata agak tertinggal sedikit dari segi perkembangan filem. Umumnya, kita tahu sekarang ini filem cenderung berbentuk seram, tahyul dan khurafat dan amat berleluasa di persada filem negara. Ketika hari raya baru-baru ini juga tidak kurangnya. Kebanjirannya memberi kesan kepada masyarakat terutamanya lapisan kanak-kanak yang dimomokan dengan berbagai lembaga menakutkan tanpa menyedarkan mereka bahawa masih ada Kuasa yang Maha Besar yang perlu ditakutkan. Dimana penerbit-penerbit Islam yang berbakat menanam ketaqwaan kepada Allah? Berbalik kepada filem 'Dua Alam', setelah mengamatinya, dapatlah disimpulkan bahawa filem ini amat menarik dan membawa mesej yang kuat dalam menangani gempabumi moral dan tsunami maksiat di dalam negara. Melihat kepada 'timing' filem ini, ternyata filem ini telah berjaya memberi satu pandangan dan kesimpulan tepat kepada erti kehidupan yang dikongkong oleh kebendaan dan keseronokan. Saya melihat bahawa filem ini berjaya, bukan dalam bentuk pulangan kebendaan, tetapi memberi kesedaran kepada penonton yang terbuka pintu hatinya untuk menilai secara saksama dan adil. Memang tidak dapat dinafikan bahawa filem ini menerima kritikan hebat dari pelbagai sudut, namun kritikan ini tidaklah menidakkan garapan mesej besar yang ingin disampaikan. Apatah lagi filem ini menggabungkan adunan latar bunyi, lokasi dan elemen penting sebuah filem. Syabas kepada mereka yang terlibat dengan penggambaran dan penerbitan. Allah Maha Adil menilai setiap perbuatan manusia. Allah telah menyatakan bahwa tidak mungkin untuk mendapatkan redha seluruh manusia. Maka janganlah membebani diri untuk selalu mengejarnya, bahkan menjadikannya dalam dakwah sebagai tujuan utama. Sungguh, mencari redha manusia adalah pekerjaan yang sia-sia. Imam Asy-Syafi’i pernah berkata : “Keredhaan manusia adalah suatu yang sulit dicapai, maka hendaklah engkau memperbaiki dirimu dan kerjakanlah dengan sungguh-sungguh, karena tiada jalan membuat seluruh manusia redha terhadapmu.” (Hilyatul Auliya' : 9/122). "Hidup ini menjadi sempit dan semakin sempit kerana kamu menjalani hidup ini untuk meraih perhatian dan redha manusia di sekelilingmu. Apa yang kamu ingin lakukan, kamu ukur dengan redha manusia atau kebencian mereka. Ia membuatkan kamu menjalani sebuah kehidupan yang penuh dengan pendustaan". (Syeikh Ibn Atoillah As-Sakandari) Hikmah ini mengingatkan kita kepada sebuah hadith yang dijadikan tajuk buku karangan ulama kontemporari terkemuka Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni dalam salah sebuah bukunya bertajuk “Ihfazillah ha yahfazuka” terjemahannya “Jagalah Allah nescaya Allah akan menjagamu”.
Dari Ibnu Abbas RA, berkata: Pada suatu hari aku berada di belakang Rasulullah SAW lalu baginda bersabda: Wahai anak, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan memelihara kamu, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan berada di hadapan kamu, dan jika engkau memohon maka mohonlah kepada Allah, dan jika engkau meminta pertolongan maka mintalah pertolongan kepada Allah, dan ketahuilah bahawa sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk memberikan suatu manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah, dan sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk mendatangkan mudarat ke atas kamu, nescaya mereka tidak akan mampu melakukan melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah.
Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni mengupas hadith ini dengan terperinci dan cukup mengesankan jiwa sesiapa sahaja yang menekuninya. Kupasan hadith ini sungguh mendalam, sarat dengan nasihat ulama, kisah-kisah insan soleh, kisah-kisah manusia derhaka kepada Allah, wali-wali Allah, bentuk-bentuk pertolongan Allah dan macam-macam lagi. “Sesungguhnya barangsiapa yang mencari redha Allah dengan marahnya manusia, maka Allah akan cukupkan baginya akan segala keperluannya di dunia ini. Tetapi barangsiapa yang mencari redha manusia dalam keadaan Allah murka, maka Allah menyerahkan nasibnya kepada manusia.” [Hadith] Firman Allah di dalam Surah At-Taubah, 100:
Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.
Ukur dua alam kehidupan (dunia dan akhirat) kita dengan redha Allah merupakan tiket ke syurga.... Jagalah hak-hak Allah, nescaya Dia akan menjaga kita; merupakan kunci kehidupan. apa lagi yang kita cari?

Monday, September 5, 2011

Talkinlah Dirimu Sebelum Kamu Ditalkinkan


Bismillahhir rahmannir rahim.

Maha suci Tuhan yang Engkau bersifat dengan Baqa’ dan Qidam, Tuhan yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa.

Maha suci Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa.

Maha suci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai, dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup.

Ingatlah! Bahawa sekalian mahluk Allah akan jahanam dan binasa, melainkan zat Allah Taala. Ialah Tuhan yang maha besar kuasa menghukum, manakala kita sekalian akan kembali menghadap hadirat Allah Taala.

Wahai SAYA Bin IBU SAYA, wahai SAYA Bin IBU SAYA, wahai SAYA Bin IBU SAYA,
hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini.

Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri Akhirat.

Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, dan bahawasanya Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah.

Ingatlah wahai SAYA Bin IBU SAYA, apabila datang kepada kamu 2 orang malaikat yang serupa dengan kamu iaitu Mungkar dan Nangkir, maka janganlah berasa gentar dan takut, janganlah kamu berdukacita dan risau serta janganlah kamu susah-hati dan terkejut.

Ketahuilah wahai SAYA Bin IBU SAYA, bahawasanya Mungkar dan Nangkir itu hamba Allah Taala, sebagaimana kamu juga hamba Allah Taala.

Apabila mereka menyuruh kamu duduk, mereka juga akan menyoal kamu.
Mereka berkata:
Siapakah Tuhan kamu?
Siapakah Nabi kamu?
Apakah agama kamu?
Apakah kiblat kamu?
Siapakah saudara kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu?
Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?

Di masa itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat dan betul. Janganlah berasa gementar, janganlah cuak dan janganlah bergopoh-gapah, biarlah tenang dan berhati-hati.

Hendaklah kamu jawab begini:
Allah Taala Tuhanku,
Muhammad nabiku,
Islam agamaku,
Al-Quran ikutanku,
Baitullah itu qiblatku, malahan solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku.
Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku, bahkan dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap kalimah “La ila ha illallah Muhammaddur rasulullah“.

Wahai SAYA Bin IBU SAYA, tetapkanlah hatimu, inilah dia suatu dugaan yang paling besar. Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal di dalam alam Barzakh, sehingga sampai satu masa kelak, kamu akan dibangunkan semula untuk berkumpul di Padang Mahsyar.

Insaflah wahai SAYA Bin IBU SAYA, bahawasanya mati ini adalah benar, soalan malaikat Mungkar dan Nangkir di dalam kubur ini adalah benar, bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar, berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar, dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar, minum di kolam air nabi adalah benar, ada syurga dan neraka adalah benar.

Bahawasanya hari Kiamat tetap akan adanya, begitu juga Tuhan yang maha berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur.

Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kamu disisi Allah Taala.
Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu. Tuhan jua yang menetapkan hati kamu. Kami sekalian berdoa mudah-mudahan Allah Taala menjinakkan hati kamu yang liar, dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini. Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu.

Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada-Mu supaya tidak disiksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW.

Subhana rabbika rabbil izati amma ya sifun wassallamu alalmursalinwalham dulillahi rabbil alamin.

“kullu nafsin za iqatul maut“
- Setiap yang Bernafas, Pasti akan Mati -

andai ku tahu...

andai kutahu
kapan tiba masaku
ku akan memohon
Tuhan jangan Kau ambil nyawaku

reff:
aku takut
akan semua dosa dosaku
aku takut
dosa yang terus membayangiku

andai kutahu
malaikatMu kan menjemputku
izinkan aku
mengucapkan kata tobat padaMu

ampuni aku
dari segala dosa dosaku
ampuni aku
menangisku bertobat padamu

aku manusia
yang takut neraka
namun aku juga
tak pantas di surga