Tuesday, November 15, 2011

Di Sebalik Hijab


Agak lama tidak berkarya kerana sibuk dengan pengisian program-program latihan. Alhamdulillah menghampiri ke penghujung tahun, program semakin banyak berkunjung. Merenung kembali perjalanan bulan-bulan yang telah lepas memang banyak perkara yang tidak dapat dilaksanakan namun bukan bermakna tidak banyak agenda tidak terlaksana, malah terasa lebih banyak juga yang telah tercapai. Itulah rencah-rencah kehidupan. Kesibukan duniawi ini umpama hijab yang melindungi keikhlasan. Yang tahu meter ikhlas ini hanya Allah. Begitu juga takdir Allah sekiranya Dia berkehendak, maka Dia akan sibukkan kita dengan apa yang menjadikan kita ini seorang kita. Hakikatnya, perjuangan menegakkan ilmu dan memunggah tradisi ilmu tidak pernah berkesudahan kerana ilmu Allah itu amat luas. Yang penting adalah di sebalik hijab kehidupan tersebut. Allahlah Penilai sebenar perlakuan kita.

Setelah lama merenung, barulah mula timbul kesedaran dalam hati kecil tentang erti bahagia dan tenang. Apa tidaknya, orang lain sibuk mengkaji itu dan ini dan kadang-kadang tiada kaitan langsung kepada Islam, tetapi kita disibukkan dengan urusan yang menganggungkan Islam. Berjuang di sebalik tabir 'tugasan' namun jauh dan dalam di sudut hati merasa tenang kerana menjadi jentera jihad di jalan Allah. Dibayar untuk mendalami Islam, mengajarkan, menyelaras, menunjukkan jalan, membina kepakaran, berpesan-pesan, semuanya untuk menuju Yang Satu.

Memang rahsia di sebalik hijab ini sering mengelirukan manusia. Kadang-kadang telah ada ilmu tentang hakikat kehidupan, tapi sifat kealpaan manusia menjadi dominan sehingga lupa asal tujuan. Kesedaran adalah anugerah. Kesedaran adalah Hati. Hati adalah tempat Allah menilai. Benarlah kata-kata hukama dan ahli tasawwuf bahawa 'uzlah dan keheningan penghujung malam mampu membangkitkan hati yang lena.

Selaklah hijabmu dan pamerkanlah keindahan ikhlas...